Isnin, 2 November 2015

Nota Kekasih

Sayang, masihkah kau ingat pada perbualan kita pada petang itu usai makan tengah hari di rumah aku? Waktu itu kau bilang kau cemburu. Cemburu pada dia yang aku puja di setiap tulisanku. Cemburu pada mereka yang menghubungi aku sekadar untuk meluahkan rasa cinta pada tulisan-tulisanku. Waktu itu, aku hanya mampu tersenyum dan diam bukan?

Sejujurnya aku telah mula menulis tentang kamu sejak pertama kali kita bertentang mata, sayang.
Mana mungkin bisa aku lupa mata yang ingin menghampiri, tapi dibaluti rasa malu kerna kita sudah lama tidak bersua.Tapi aku segan memberitahu kamu tentang ini, kerana ini memang aku. Aku harap kamu dapat menerima aku sebegini, aku yang sukar meluahkan rasa hati.

Sayang, ingat lagi bicara kita malam itu? Kau kata kau risau tentang masa depan kita. Tentang perasaan manusia yang berubah. Tentang jarak yang memisahkan. Tentang aku yang semakin berjauhan. Tentang kau yang terlalu kesibukan. Kau takut, kita bakal jadi manusia-manusia yang tidak lagi punya rasa cinta.

Sebenarnya aku juga takut tentang hal-hal masa depan yang tak punya kepastian, sayang. Lagi tiga bulan, kita bakal berjauhan. Dipisahkan jarak dan masa yang berbeza buat aku gusar. Kamu itu bukan calang-calang, sentiasa dipandang orang. Kamu itu bukan biasa-biasa, sentiasa dicari mata-mata. Tapi aku percaya, Tuhan sudah punya ketetapan buat kita, sayang. Usah gusar, aku manusia setia. Pada janji, juga pada cinta. Doakanlah, moga segalanya baik-baik saja.

Sayang, aku tahu aku bukan yang terbaik untuk kamu. Aku punya kekurangan serta masa silam yang kelam, sehingga kadang-kadang aku lihat masa hadapan suatu yang mustahil buat aku. Namun sayang, akan aku usaha sehabis baik untuk jadi lebih baik. Agar nanti bila kita berjumpa lagi, jari-jari ini akan kemas dicelah jarimu.

Sayang, aku tahu kita sangat berbeza, Dari paras rupa ke latar keluarga, juga pergaulan dengan rakan-rakan. Aku tahu kau berusaha untuk mengenali aku, sebagaimana aku belajar menekuni kamu dalam setiap rutinku. Perbezaan bisa menjarakkan, tapi ia juga bisa saling melengkapi. Dan aku harap, kita bukan manusia yang terlalu berbeza sehingga akhirnya makin menjauh saat bergaduh.

Sayang, aku tak punya apa-apa untuk diberi pada kamu. Sekadar ucapan terima kasih, kekasih. Ya. terima kasih buat segala memori yang kita cipta, segala hadiah yang kau beri. Terima kasih kerana kau terima semua yang ada pada aku, setiap masa laluku serta kesilapanku. Terima kasih kerana buat aku menyadari bahawa masih ada cinta buat aku.

Terima kasih, Sayang. Moga kau baik-baik sahaja. Dan aku harap, 5 tahun bukan waktu yang terlalu panjang untuk kita berpaling arah.

Aku taktahu ketetapan Tuhan. Andai kita masih bersama 5 tahun lagi, kita nikah sajalah, ya?

Tiada ulasan :